Virus dalam komputer ialah satu program kecil bertujuan merosakkan sistem
operasi dan menyebabkan komputer tidak boleh berfungsi dengan baik atau mati
terus. Selalunya virus akan menyerang sektor but (boot sector), fail *.exe dan
*.com. jenis-jenis virus ini dipanggil virus but dan virus fail, Terdapat satu
lagi virus dipanggil virus macro yang akan merosakkan fail data program
Microsoft Word dan Excel. Secara lazimnya virus akan membiak, memindah dan
memadam fail-fail data pada masa-masa tertentu atau semasa program dibuka.
Serangan virus boleh berlaku dengan cara ia akan bertindak pada
tarikh-tarikh tertentu atau beberapa kali pengguna menekan kekunci tertentu.
Contoh virus tersebut ialah virus Chernobyl yang menyerang pada 26 April lepas
atau tahun sebelumnya. Virus tersebut mampu memadam kandungan rekod but utama
(Master boot record) serta BIOS dan menghilangkan data-data dalam cakera keras,
membuat perkakasan-perkakasan seperti papan induk dan cakera keras tidak boleh
digunakan lagi.
Kerosakan BIOS dikira serangan yang paling hampir kepada kerosakan
perkakasan. Biasanya serangan virus ditujukan kepada program-program dalam
sistem operasi (perisian) dengan memusnahkan fail-fail penting. Sistem akan
lumpuh sekiranya tiada ubat yang tepat untuk memulihkan keadaan. Perkembangan
dan berita-berita mengenai virus harus diikuti setiap masa dari media massa
atau Internet. Setiap amaran serangan virus diberi perhatian walau sekecil
manapun.
Pengguna komputer harus menghadapi hampir 45,000 virus yang dikenali dan
pertumbuhan 200 virus setiap bulan. Program virus dicipta oleh
programer-programer dengan niat negatif. Apa yang harus dibuat oleh para
pengguna komputer, perlu berhati-hati dengan disket yang digunakan di pemacu A
serta kandungan e-mel dan fail pindahturun dari Internet yang mencurigakan.
Pemasangan permainan komputer dari CD-ROM harus diberi perhatian kerana
penyibaran virus kadang-kadang melaluinya. Dapatkan sebuah program anti-virus
terkini bagi tujuan mengimbas komputer setiap ketika dan masa dari diserang
virus tanpa disedari.
Nota:
*.com di atas bererti nama fail
seperti command.com atau format.com.
( dalam kenangan)
Y2K ialah Alaf Baru atau 'Year 2000' yang akan membawa beberapa kesan
terhadap bidang IT (Information Technology). Y bermaksud tahun, 2 pula angka 2
dan K ialah Kilo atau ribu (000).
Komputer jenama IBM dibina pada tahap yang amat kerdil diawal 80an. Storan
terlalu kecil dan setiap bait (byte) sangat berharga. Satu cara penjimatan
adalah dengan mengurangkan angka pada tahun, iaitu dari 4 ke 2 sahaja (1980
jadi 80). Kian hari storan kian bertambah untuk menampung program yang besar
dan sesetengah pengeluar perisian atau perkakasan (BIOS) mula menggunakan 4
angka bagi tahun. Apabila tiba pada tahun 2000, perisian atau perkakasan-yang
masih tinggal pada tahun 2 angka akan menghadapi masalah. Masalah ini dipanggil
'bug' atau pepijat dalam dunia IT. Komputer beranggapan tahun 2000 itu 1900 dan
kemungkinan sistem bercelaru. Sistem yang dikeluarkan pada tahun 1997 ke atas
mematuhi Y2K. Tarikh keramat itu telah berlalu dan syukur ia berlalu tanpa
sebarang masalah.
Semasa ingin membuat pembelian perkakasan, perhatikan logo di kotak dan cip
BIOS yang menyatakan ia ‘Y2K compliant'. Cara ini yang paling selamat bagi
menentukan perkakasan mempunyai persediaan Alaf Baru.
Overclocking atau lampau detik merujuk kepada kelajuan CPU pada tahap yang
lebih daripada yang sebenarnya, biasanya ke satu atau dua tahap dari kelajuan
CPU. Tujuannya untuk meningkatkan kelajuan CPU tanpa memerlukan perbelanjaan
yang banyak. Sebagai contoh, CPU 600MHz ditingkatkan antara 650MHz hingga
800MHz. Tiga cara boleh dilakukan seperti menukarkan ketetapan jumper di atas
papan induk atau di dalam CMOS Setup, meningkatkan sistem bas (FSB) dan
menukarkan voltan operasi CPU.
Kelajuan dikira dengan cara mendarab sistem bas dan multiplier seperti
dalam rajah di bawah (A) iaitu 100X6 untuk kelajuan CPU asal. Dalam rajah
bahagian B, CPU ditingkatkan kepada 650MHz dengan menukarkan jumper ke
multiplier 6.5. Dalam rajah bahagian C, bas 100MHz boleh ditingkatkan kepada
133MHz mengikut kernampuan sesetengah papan induk. Kelajuan CPU boleh mencapai
ke tahap 800MHZ iaitu anggaran dari kiraan rajah C. Menukarkan voltan operasi
CPU memerlukan kepakaran tinggi, rujuk manual atau laman web untuk keterangan
lanjut. (www.anandtech.com atau www.tomshardware.com).
Kebaikan kepada tingkatan ini, tentunya melajukan lagi prestasi komputer.
Keburukannya pula, sekiranya tidak berhati-hati, ia boleh merosakan CPU dan
keseluruhan sistem. Ini berlaku akibat dari kepanasan CPU yang bertambah
sehingga kadang-kadang boleh mencairkan soket. Pemasangan kipas 'heavy-duty'
boleh menyelesaikan masalah ini. Sekiranya selepas overclocking, sistem tidak
stabil, meragam atau panas tidak menentu, tukar ketetapan jumper ke asal dan
lupakan overclocking sama sekali.
Selain melajukan CPU, ada beberapa perkara lain yang boleh meningkatkan
prestasi komputer seperti menambah RAM fizikal, menukar cakera keras jenis 7200
rpm atau berasaskan sambungan SCSI, kad video grafik AGP dengan RAM jenis DDR
sebanyak mungkin dan papan induk yang mempunyai cache yang banyak.